Saturday, October 08, 2016

Dr Fauziah Cerita Pengalaman Dikurung



KUALA LUMPUR: Pengalaman dipenjarakan oleh pihak Zionis di sebuah pusat tahanan di Israel merupakan antara kisah yang dikongsi wakil tunggal Malaysia dalam misi 'Women's Boat to Gaza', Dr Fauziah Mohd Hasan, sebaik sahaja tiba di tanah air pada Jumaat.

Berkongsi kisahnya di hadapan ratusan penyokong dan wakil media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau mengakui perasaan takut tetap ada apabila ditempatkan di dalam sel yang kecil kerana enggan untuk menandatangani sebuah dokumen berkaitan penghantaran pulang (deportation order).

"Kami telah diberi latihan untuk tidak tandatangan apa apa.

"Mereka paksa saya untuk tandatangan dan berkata mereka akan hantar saya ke Itali pada malam itu juga," katanya. 

Kerana enggan menurut perintah mereka, Dr Fauziah diletakkan di dalam sel berukuran 160 sentimer dan ketinggian 200 sentimeter.

"Sel itu cukup-cukup untuk tiga orang sahaja.

"Saya takut kerana saya masuk seorang diri dan saya mencari rakan-rakan saya yang lain," kata Dr Fauziah. 

Dr Fauziah turut berkongsi detik cemas apabila saluran satelit disekat, sekali gus memutuskan segala komunikasi termasuk penggunaan aplikasi WhatsApp apabila di kawasan perairan kurang 50 batu nautika dari Gaza.

"Pada mulanya (saluran berita) Al-Jazeera masih membuat siaran langsung tetapi pada hari Rabu mereka tidak dapat berbuat demikian. Semua komunikasi disekat," katanya. 

Bukan itu sahaja, Dr Fauziah turut menjelaskan bahawa segala alat dan peranti komunikasi seperti komputer riba dan iPad dicampak ke laut setelah mengesyaki kapal Israel menghampiri bot mereka.

"Memang tiada sebarang komunikasi langsung. Ini agar mereka tidak boleh dapat apa yang kami ada," katanya.

Selain itu, latihan dan persediaan dari segi minda dan fizikal banyak membantu Dr Fauziah untuk sentiasa dalam keadaan tenang, walaupun tahu akan hadapi pelbagai cabaran dan rintangan.

"Amat penting untuk kita menjadi seorang yang amat tenang kerana apabila kita tenang, kita tidak takut, tidak marah dan kita waras.
"Saya banyak doa agar tenang dan tidak ada ketakutan dan susah hati di dalam diri. Dan juga tenang apabila menghadapi apa-apa cabaran," katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Bangkok menaiki penerbangan Tiger Air TG417 kira kira 7.47 malam.

Sebelum itu, Dr Fauziah menempuh penerbangan dari Tel Aviv, Israel ke Bangkok, dan ketika tiba di lapangan terbang di ibu kota Thailand itu, Dr Fauziah disambut suaminya, Prof Dr Alauddin Mohd Ali
.
Sumber ASTRO AWANI

Kepulangan Dr Fauziah

sumber : bernama

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal Malaysia dalam misi 'Women's Boat to Gaza' Dr Fauziah Mohd Hasan menganggap misinya berjaya mencapai matlamat meskipun tidak sampai ke Gaza.

Katanya, insiden yang berlaku terhadap kapal Zaytouna-Oliva telah membuka mata masyarakat dunia untuk terus berusaha membebaskan Palestin daripada kepungan rejim Zionis.

"Ini adalah salah satu langkah untuk kita membebaskan kepungan rejim Zionis terhadap Palestin.

"Malah, misi ini juga memberikan harapan kepada penduduk di Semenanjung Gaza bahawa satu hari nanti mereka akan memperoleh kebebasan," katanya.

Tambah Dr Fauziah, usahanya tidak akan terhenti setakat ini malah satu perjumpaan bersama semua 13 aktivis wanita yang ditawan tentera Israel akan diadakan di Stockholm, Sweden pada Mac tahun depan.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Bangkok menaiki penerbangan Tiger Air TG417 kira kira 7.47 malam.

Sebelum itu, Dr Fauziah menempuh penerbangan dari Tel Aviv, Israel ke Bangkok, dan ketika tiba di lapangan terbang di ibu kota Thailand itu, Dr Fauziah disambut suaminya, Prof Dr Alauddin Mohd Ali.

Disambut penyokong

Sementara itu di KLIA, beratus-ratus penyokong, yang terdiri daripada kaum keluarga dan saudara-mara, wakil penganjur misi, ahli kumpulan organisasi bukan kerajaan (NGO), penyokong perjuangan Palestin dan khalayak umum lainnya setia menantikan kelibat Dr Fauziah di balai ketibaan.

Sewaktu Dr Fauziah muncul, khalayak semakin rancak dan kuat melaungkan kata-kata 'Free Palestine!' (Bebaskan Palestin!) dan 'Palestine will be free!' (Palestin akan bebas!).

Orang ramai juga membawa sepanduk dan kain rentang yang tertera kata-kata semangat, selain turut mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang.

Kapal Zaytouna-Oliva yang membawa Dr Fauziah dan 12 anggota misi lain dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod pada Rabu.

Perjalanan mereka bermula pada 14 September dari pelabuhan Vell di Barcelona dan berhenti di Ajaccio, Perancis selepas pusingan pertama sebelum belayar ke Messina, Itali untuk pusingan kedua.

Di petik dari Astro AWANI