Friday, October 07, 2016

Pantang Larang Bayi Baru Lahir

Bagi yang baharu bergelar ibu ayah, tentu banyak menerima pelbagai pesanan dan nasihat daripada orang tua, saudara mara dan sahabat handai tentang penjagaan bayi.
Adakalanya pantang larang yang diberitahu macam tak masuk akal dalam zaman serba moden ini. Kadang kala pening kepala juga dibuatnya sama ada mahu mengikut atau sebaliknya tentang pantang larang tersebut terutama dalam bab membesarkan bayi.
Cuba kita lihat beberapa pantang larang yang biasa diberitahu oleh orang tua-tua tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak dan buat perbandingan daripada sudut pandangan pakar perubatan.
1. Bayi baru lahir perlu dipakaikan barut agar tidak kembung atau rangka dada tidak terlalu menonjol khususnya bayi perempuan.
Penjelasan: Dinding perut bayi masih lagi lemah ketika usia ini. Oleh yang demikian, pastikan barut dipakai pada bahagian perut sahaja dan bukan terus ke dada kerana khuatir perkembangan organ dalaman anak sukar untuk berkembang dengan cepat.
Jangan diikat terlalu ketat kerana dikhuatiri bayi tidak selesa. Pemakaian barut boleh membantu mengelakkan tali pusat tidak luka akibat geseran. Selain itu barut dapat membantu memanaskan badan bayi baharu lahir yang mudah sejuk.
2. Setelah tali pusat tercabut, pusat bayi harus ditindih dengan kepingan syiling atau logam agar pusat tidak menonjol keluar.
Penjelasan: Sebenarnya, kaedah ini tidak perlu dilakukan lebih-lebih lagi jika pusat bayi memang tidak menonjol. Namun, anda boleh mengikut panduan ini jika pusat bayi menonjol asalkan logam terbabit bersih dan disteril.
3. Bayi baru lahir harus dibedung agar kakinya tidak bengkok atau bersilang.
Penjelasan: Sebenarnya, membedung adalah untuk memberikan keselesaan kepada bayi ketika tidur. Sehingga mencecah usia enam bulan, bayi sering mengalami kejutan refleks.
Jadi, jika dibedung, ketika berlaku kejutan refleks ini, bayi akan kurang merasa terkejut. Namun perlu diingat, bedung biasanya membuat peredaran darah anak terganggu.
Ini membuatkan jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah. Akibatnya, anak akan kerap sakit terutama di bahagian dada khususnya di sekitar paru-paru atau rongga pernafasan.
4. Tidak elok memandikan bayi selepas jam 3 petang.
Penjelasan: Ibu sebenarnya bebas menentukan masa untuk memandikan bayi. Biasanya, pada bulan-bulan pertama, anak boleh dimandikan antara jam 9.30 hingga 10.00 pagi.
Bila usia bayi meningkat, anda boleh memandikan anak antara jam 8.00 hingga 10.00 pagi. Manakala, pada waktu petangnya pula, bergantung pada suhu ketika itu. Paling penting jangan mandikan anak setelah diberi susu kerana selepas minum biasanya anak akan mengantuk dan mahu tidur.
5. Tangan dan kaki bayi tidak perlu selalu ditutup dengan sarung kaki dan tangan.
Penjelasan: Sebenarnya tiada masalah jika tangan dan kaki anak disarungkan terutama ketika suhu dingin. Pemakaian sarung tangan juga perlu untuk mengelakkan berlaku calar akibat terkena kuku bayi sendiri.
Jika di luar rumah, sebaiknya bayi tidak perlu dipakaikan sarung tangan kerana pemakaian sarung tangan akan membataskan perkembangan deria rasanya.
6.  Kuku bayi tidak boleh dipotong sebelum usianya 40 hari.
Penjelasan: Larangan ini mungkin disebabkan khuatir akan melukakan kulit jari tangan dan kaki anak. Saiz kuku yang kecil dan nipis memang menyukarkan anda memotong kuku si kecil.
Namun, jika dilakukan secara berhati-hati dan menggunakan peralatan yang khusus, kemalangan mungkin dapat dielakkan. Jadi, sebenarnya memotong kuku bayi tidak perlu menunggu sehingga usianya 40 hari asalkan berhati-hati.
7.  Anak tidak boleh didukung dengan kaki dikangkangkan kerana khuatir akan terkangkang.
Penjelasan: Tidak benar sama sekali. Tidak menjadi hal jika anak didukung dengan cara ini asalkan kepala dan punggungnya diampu agar tidak jatuh ke belakang. Kaki anak kangkang mungkin disebabkan oleh genetik yang diterima daripada ibu atau ayah. 
Semuanya terpulang kepada ibu bapa sendiri sama ada hendak mempraktiskan pantang larang tersebut atau tidak. Yang penting ia mestilah tidak memudaratkan bayi anda

Sumber Pa&Ma
Gambar:www.mumsnet.com

No comments:

Post a Comment