Masih adakah lagi nasi ayam dengan harga RM 3.50 pada zaman kewangan negara semakin merosot ini??
Memang tidak dinafikan, kos semakin meningkat selepas beberapa sesi kenaikan harga minya dan GST namun masih ada peniaga yang mampu mengakut keuntungan dengan menjual barangan atau makanan dengan harga jauh lebih murah dari harga pasaran.
Ketika rata-rata kedai makan menawarkan sepinggan nasi ayam pada harga RM4.50 hingga RM5.50 namun, seorang pemilik kedai makan di Rusila, Marang, Terengganu, masih menawarkan harga lebih rendah.
Kedai Makan Ayah Teh Rusila menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat yang menghargai saiz hidangan dan keenakan nasi ayamnya walaupun ditawarkan pada harga rendah iaitu RM3.80 sepinggan.
Pemiliknya, Zawawi Yusof, 61, berkata, selain nasi ayam, hidangan seperti bihun sup, mi sup, dan kuetiau sup, kesemuanya juga dijual dengan harga berpatutan dan rendah berbanding kedai makan lain.
Pelbagai jenis minuman sama ada panas atau sejuk di kedai makan terletak di tepi laluan utama Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu pula dijual pada harga bermula RM1.
Zawawi membuka kedai makan itu selepas mengambil alih daripada kakaknya dan menjual nasi ayam pada harga RM3 pada awal pembukaan kedainya, namun menaikkan sedikit harga selepas pelaksanaan GST.
“Walaupun harga petrol pernah naik satu ketika dahulu, saya masih tidak menaikkan harga nasi ayam yang dijual dan juga makanan lain. Ketika itu, pendapatan saya sedikit berbanding pemilik kedai makan lain tetapi perniagaan ini masih laku.
“Saya tetap berpuas hati dengan apa yang saya peroleh dan menganggap ia sebagai berkat kerana dapat membantu pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mereka sentiasa memberikan sokongan,” katanya.
Pemilik kedai berasal dari Chendering, Kuala Terengganu itu berkata, dengan menetapkan hidangan makanan pada harga bawah RM4, golongan kurang berkemampuan termasuk pelajar boleh menikmati makanan di kedai makan tersebut.
Kedai Makan Ayah Teh Rusila dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Dipetik dari SINAR HARIAN.
No comments:
Post a Comment